Thursday, 19 December 2013

Trip Memancing Sekitar Pulau Ketam Bersama Tekong Siparipari 30/11/2013

Baru seminggu bergelar pemancing saya mencabar diri untuk berjinak-jinak dengan gelombang laut. Seminggu sebelum trip, saya mencuba nasib menghubungi tuan punya blog http://pancingport.blogspot.com alias Tekong Siparipari untuk membuat tempahan. Ternyata nasib menyebelahi saya kerana hasil perbincangan, beliau bersetuju untuk membawa saya memburu pada 30/11 kerana keadaan air menyorong besar yang sesuai memburu tetanda ketika itu. Sewa yang dikenakan sangat berpatutan iaitu RM 150  seorang/boat.

Bermula sebuah perjalanan

Gambar : Jeti Kg. Nelayan Teluk Gong

Seawal pukul 8 pagi saya telah pun sampai di Jeti Kg. Nelayan Teluk Gong. Cuaca yang cerah dengan bunyi unggas bersama hamparan ombak sayup-sayup terdengar. Sambil menunggu tuan Tekong, saya mengambil kesempatan berbual-bual dengan abang Jai yang sedang menunggu kaki pancing untuk bersedia dihantar ke rumah rakit. Baru saya tahu rupanya di telok gong ini ada perkhidmatan sebegini disediakan. Dengan sewa rm 30, seorang boleh melepaskan giant memancing 12 jam di rumah rakit yang telah sedia dengan semua kelengkapan asas seperti tandas, dapur untuk memasak dan set bbq. Satu hari nanti saya pasti akan mencubanya..
Gambar : Rumah rakit kelihatan dari jeti

Pukul 9.30 pagi bermulalah perjalanan kami. Sebelum sampai ke port memancing di pulau ketam kami singgah di Sungai Labuhan Gurap untuk menjala umpan yang terdiri dari udang hidup dan anak ikan belanak.
Gambar : Tekong dan Amat asik menjala umpan

Lebih kurang sejam perjalanan kami pun sampai  di kawasan sangkar pulau ketam. Alatan pun disiapkan dan bermulalah aktiviti memancing.

Gambar ; Bersebelahan dengan Greenway Pulau Ketam

Belum sampai 5 minit melabuhkan umpan, joran tuan Tekong disentap hebat oleh spesies yang tidak dapat dipastikan. Apalagi dengan pantas tuan Tekong menyerahkan joran tersebut kepada saya. Dengan terpinga-pinga saya pun cuba mengaplikasikan kemahiran mancing yang saya perolehi daripada youtube. Setelah beberapa minit akhirnya spesis pulutan berjaya dinaikkan.

Biarlah gambar dibawah berbicara :

Lesen kerapu hibrid lebih kurang 500 g. Saya dan tekong berkongsi ikan kerana menurut pemerhatian umpan saya dimakan dahulu kemudian umpan tekong.

Sahabat kami amat dengan hasil tangkapan yang terbesar untuk trip ini. 6.7 Kg

Kerapu hibrid idaman kami


kerapu hibrid kedua yang berjaya dinaikkan oleh tuan tekong

antara umpan yang digunakan

sebelum sauh dinaikkan untuk pulang kepangkalan. saya dikejutkan dengan santapan tetanda yang comel ini.

Hasil keseluruhan tangkapan pada kali ini. Alhamdulillah.

Kami pun pelang ke Jeti sekitar pukul 7.30 malam dengan hati yang berbunga-bunga. 

Sekalung Budi

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Tuan Tekong Bot, abang Zambri dan En. Amat kerana sudi memberi tunjuk ajar.


Sunday, 24 November 2013

Pengalaman #1 untuk Entri #1

Alhamdulillah..Selamat membaca dan salam perkenalan buat semua. Harini merupakan hari yang bersejarah dalam hidup saya kerana ia akan menjadi saksi diatas cita-cita dan harapan yang sudah lama terpendam untuk memiliki sebuah blog sebagai salah satu wadah untuk saya menterjemahkan segala rasa, pemikiran bahkan sedikit pengalaman hidup saya lewat tulisan..Apa tidaknya melihat teman-teman, kenalan yang rancak ber-blogging menjadikan diri tercabar untuk bersama-sama memeriahkan lagi dunia blogging..

Kerana bagi saya blog ibarat mata pisau, kegunaannya bergantung kepada niat si pemunya..Samada untuk memotong bawang, cili , sayur, ikan untuk dimasak sebagai hidangan keluarga ataupun digunakan untuk menikam/membunuh mahluk yang tidak berdosa..Jika niat kita baik maka kesudahan yang baik jualah yang akan diterima..


Joran #1

Justeru itu, sebagai langkah permulaan ke dunia blogging ini, saya memutuskan untuk berkongsi pengalaman pertama saya memiliki joran dan memancing ikan air tawar bersama rakan.

Gambar 1: Kekili yang disyorkan oleh member Yusof, saya beli kat kedai pancing Dengkil. Menurut tawke kedai, kekili ni sesuai untuk pancing air masin dan tawar.Harga RM105.


Kekili yang disyorkan oleh teman kerja saya diatas akan dijodohkan dengan rod pancing yang disedekahkan kepada saya oleh beliau (alhamdulillah jimat duit saya dan semoga rezeki Yusof mencurah2)..


Misi #1 : Dari Talapia ke Sepat & Rohu..

23.11.2013 (sabtu) , bertempat di kawasan memancing sekitar Ulu Yam saya dan rakan saya merangkap sifu pancing pulau perhentian Zamtira berhajat besar membawa pulang ikan talapia.Misi bermula seawal pikul 8 pagi di Empangan Batu.

Gambar 2: Zamtira sedang kusyuk menyediakan umpan


Gembira rasa hati bila dapat belajar cara-cara menyediakan umpan dan membaling umpan dari joran..Risau jugak tersangkut kat telinga Zamtira, mujurlah kejadian tidak berlaku.

Setelah lebih kurang 2 jam menunggu, seekor ikan pun belum mengena, Zamtira dan saya memutuskan untuk menukar misi memburu sepat di bekas lombong berdekatan rumah beliau di Ulu Yam. Memang benarlah kata orang, memancing memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi. Pukul 10.30 pagi kami pun bergerak ke destinasi memburu sepat.

Gambar 3: nilah bekas lombong yang dimaksudkan.

Sampai sahaja di kawasan kolam kelihatan anak-anak sepat seolah melambai-lambai dipermukaan air meraikan ketibaan kami.Teruja rasa dihati sehinggakan balingan pertama tersangkut di dahan pokok kayu tempat kami berteduh.Walau bagaimanapun hasilnya...Jom layan gambar dibawah.

Gambar 4: Hasil pertama Sepat dan Rohu

Gambar 5 : Hasil yang ke 23 kot..huhu

Gambar 6: Hati berbunga-bunga ketika ini


Gambar 7 : Alhamdulillah rezeki harini..


Misi ditangguhkan pada pukul 2.00 petang dengan hasil tangkapan sepat lebih kurang 30 ekor dan 2 ekor puyu..Alhamdulillah , terima kasih ya Allah diatas rezekimu, pengalaman pertama yang sukar dicari ganti..

Sekalung Budi

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Zamtira yang sudi mengajar teknik-teknik memancing sepat, Yusof yang meminjamkan toolbox pancing. Serta Isteriku dirumah yang sabar menunggu kepulangan suamimu.

Sekian